KHAN YOUNIS, 12 Oktober - Sebuah konvoi trak membawa bantuan kemanusiaan dilihat bergerak melalui Khan Younis, Gaza pada Ahad, ketika gencatan senjata dilaporkan masih bertahan.
Menurut perjanjian gencatan senjata itu, penghantaran bantuan kemanusiaan akan ditingkatkan ke seluruh Gaza dan dibenarkan bergerak bebas antara kawasan utara dan selatan wilayah berkenaan melalui dua jalan utama.
Tentera Israel turut berundur di bawah fasa pertama perjanjian yang ditaja oleh Amerika Syarikat bagi menamatkan perang yang telah meragut puluhan ribu nyawa serta memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dijadual menghadiri sidang kemuncak antarabangsa di Sharm el-Sheikh, Mesir pada Isnin, bersama lebih 20 ketua negara bagi memuktamadkan terma perdamaian kekal, menurut jurucakap Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi.
Ratusan trak bantuan dijangka memasuki Gaza setiap hari bagi membawa makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas.
Jurucakap UNICEF, Tess Ingram berkata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu itu akan meningkatkan penghantaran makanan berkhasiat tinggi untuk kanak-kanak yang kekurangan zat, bekalan kebersihan wanita dan khemah mulai Ahad. - REUTERS