BANGKOK, 10 Disember - Lebih 500,000 individu meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari keselamatan di Thailand dan Kemboja sejak tercetusnya semula konflik sempadan, menurut kedua-dua kerajaan pada Rabu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri berkata, jumlah itu melebihi jumlah yang dipindahkan semasa pertembungan serupa awal tahun ini.
"Orang awam terpaksa dipindahkan dalam jumlah besar kerana kami menilai terdapat ancaman segera terhadap keselamatan mereka.
"Lebih 400,000 orang telah dipindahkan ke tempat perlindungan selamat di tujuh wilayah. Kami mahu mengelakkan berulangnya serangan terhadap orang awam yang berlaku pada Julai 2025," katanya.
Sementara itu menurut Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja Maly Socheata berkata, lebih 100,000 individu dipindahkan ke tempat perlindungan.
"Sebanyak 101,229 orang telah dipindahkan ke tempat perlindungan selamat dan rumah saudara mara di lima wilayah setakat Selasa," katanya.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu berselisih mengenai penetapan sempadan era kolonial sepanjang 800 kilometer (500 batu), masing-masing menuntut kuil bersejarah telah mencetuskan konflik bersenjata.
Pertempuran minggu ini merupakan yang paling dahsyat sejak lima hari pertempuran pada Julai yang meragut puluhan nyawa dan memaksa kira-kira 300,000 individu di kedua-dua belah sempadan berpindah sebelum gencatan senjata sementara dipersetujui.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain atas tercetusnya semula pertempuran, yang pada Selasa merebak ke lima wilayah di Thailand dan Kemboja, menurut kiraan rasmi AFP.- AFP