COLOMBO, 31 Julai- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menangguhkan bantuan kewangan ke Sri Lanka.
Perkara itu dilaksana susulan pergolakan dalaman di negara itu sejak beberapa minggu lalu.
Menurut Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, perjanjian dengan IMF kini ditangguh hingga September.
Ia sepatutnya dilaksana awal Ogos.
Inisiatif permohonan bantuan daripada IMF digerakkan bekas Presiden, Gotabaya Rajapaksa, April lalu.
Pemimpin terbabit bagaimanapun melarikan diri ke luar negara sebelum mengumumkan peletakan jawatan.
Jumaat lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Sri Lanka sudah menyambung semula rundingan pakej bantuan dengan IMF selepas kerajaan baharu mengambil alih dan mencapai perkembangan baik.
Negara itu kini menanggung hutang luar negara sebanyak AS$12 bilion (RM53.4 bilion) membabitkan peminjam swasta.
(GAMBAR FAIL/REUTERS)
Sebelum ini, Bank Dunia memaklumkan ia tidak merancang menawarkan pembiayaan baharu kepada Sri Lanka sehingga negara Lautan Hindi itu mempunyai rangka kerja dasar makroekonomi yang mencukupi.
Bank Dunia dalam satu kenyataan berkata, Sri Lanka perlu menerima pakai reformasi struktur yang menumpukan kepada penstabilan ekonomi dan menangani punca krisis menyebabkannya kekurangan pertukaran asing dan makanan, bahan api serta ubat-ubatan.
Katanya, pihaknya menggunakan semula sumber di bawah pinjaman sedia ada bagi membantu meringankan masalah kekurangan barangan keperluan seperti ubat, gas memasak, baja, makanan untuk kanak-kanak dan wang tunai untuk isi rumah yang terjejas.
Bank itu juga berkata, sedang bekerja rapat untuk mewujudkan kawalan dan pengawasan fidusiari bagi memastikan pengagihan adil.
Rajapaksa, pada Jun lalu berkata Bank Dunia akan menyusun semula 17 projek sedia ada dan lebih banyak bantuan akan menyusul selepas rundingan dengan IMF mengenai pinjaman kewangan. - REUTERS