fb fb fb fb fb

Kesatuan wartawan Palestin lancar kempen #Womenjournalistswartime

Kempen ini yang seiring dengan inisiatif global, 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender

GAZA, 5 Disember - Kesatuan Wartawan Palestin mengumumkan pelancaran kempen media sosial pada Khamis dengan tanda pagar #WomenJournalistsWartime, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Kempen ini yang seiring dengan inisiatif global, 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keganasan yang dihadapi wanita Palestin, terutamanya wartawan wanita, di bawah pendudukan tentera Israel.

Dalam satu kenyataan, kesatuan itu menyeru wartawan, organisasi hak wanita dan kumpulan hak asasi manusia untuk menyertai kempen ini dengan menggunakan tanda pagar #WomenJournalistsWartime di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter (kini dikenali sebagai X), Instagram, Telegram dan TikTok.

Kempen ini secara rasmi bermula pada 12.00 tengah hari waktu tempatan.

Kesatuan itu menegaskan bahawa tujuan kempen adalah untuk menonjolkan keganasan yang terus dihadapi oleh wanita Palestin, terutamanya wartawan.

Lebih 25 wartawan wanita terbunuh manakala puluhan lagi cedera atau ditahan sepanjang serangan ketenteraan Israel yang sedang berlangsung di Gaza.

Kesatuan Wartawan Palestin menggesa wartawan, organisasi hak wanita dan kumpulan hak asasi manusia untuk menyokong kempen ini sebagai tanda solidariti terhadap wanita Palestin secara keseluruhan, dan wartawan wanita secara khusus, yang sedang menghadapi cabaran hebat dalam situasi yang mencabar ini.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kempen global, 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, yang menyeru solidariti dan keadilan untuk wanita serta wartawan Palestin yang terus menjadi mangsa keganasan dan penindasan. - BERNAMA-WAFA

GRACE AISYAH KEDAYAN