THE HAGUE, 26 Januari- Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengumumkan keputusannya, hari ini bagi tuntutan langkah sementara yang dikemukakan Afrika Selatan berhubung kes dakwaan genosid dilakukan Israel ke atas Gaza.
Memetik laporan Al-Jazeera, Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu berkata, panel 17 hakim akan mengumumkan keputusan tersebut pada pukul 12 tangah hari di Peace Palace di The Hague, Belanda.
Pada 29 Disember lalu, Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel, menuduhnya melakukan pembunuhan beramai-ramai ketika pencerobohan ke atas Gaza.
Perbicaraan mengenai kes itu telah berlangsung selama dua hari bermula 11 Januari.
Afrika Selatan memfailkan sembilan injunksi kepada mahkamah. Antaranya permintaan untuk perintah mengarahkan Israel menangguhkan semua operasi ketenteraan di Gaza, selain mengarahkan Israel untuk memudahkan dan tidak menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Israel jelas Israel menolak dakwaan 'genosid' itu malah menyifatkan ia 'sangat diputarbelitkan' dan mendakwa ia mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada Hamas.
Israel berkata ia menyasarkan Hamas di Gaza, bukan orang awam Palestin.-REUTERS