YANGON, 1 September- Sebuah kem gajah di Myanmar, yang terletak 75 kilometer timur laut Yangon, mencatatkan satu kejadian luar biasa dengan kelahiran gajah kembar pada Isnin lalu.
Pearl Sanda, seekor gajah betina berusia 21 tahun, melahirkan anak gajah betina dinamakan Pearl Sint pada awal pagi. Gajah jantan dinamakan Kyaw Pearl dilahirkan empat minit selepas itu.
Pengumuman mengenai kelahiran tersebut dibuat melalui Facebook rasmi kem Winga Baw, Rabu lepas.
Oleh kerana anak gajah terbabit terlalu kecil dan belum mampu menyusu secara semula jadi, penjaga kem memberikan makanan kepada mereka secara manual menggunakan botol susu.
Anak kembar itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat, dan Pearl Sanda kini diberi lebih banyak makanan untuk menyokong peranannya sebagai ibu.
Winga Baw, yang dibuka pada tahun 2016, kini mempunyai sembilan ekor gajah termasuk anak kembar terbabit.
Kem tersebut terkenal sebagai tempat perlindungan bagi anak-anak gajah yang kehilangan ibu bapa mereka akibat aktiviti perdagangan haram.
Kelahiran gajah kembar disifatkan sebagai "jarang ditemui" kerana ia adalah fenomena sangat jarang berlaku dalam kalangan gajah.
Statistik menunjukkan kelahiran kembar dalam spesies gajah adalah sangat rendah dengan anggaran hanya sekitar satu peratus daripada semua kelahiran gajah. Kelangsungan hidup mereka juga sering berisiko kerana cabaran penyusuan dan penjagaan. -Reuters