fb fb fb fb fb

Keganasan Israel di Tebing Barat, AS umum larangan visa

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken / Foto Reuters

WASHINGTON, 6 Disember - Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mula mengenakan larangan visa ke atas mereka yang terlibat dalam keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel, kata pegawai Washington, selepas beberapa rayuan agar Israel melakukan lebih banyak lagi pencegahan keganasan yang dilakukan oleh peneroka haram Yahudi.

Polisi sekatan visa Jabatan Negara yang baharu menyasarkan “individu yang dipercayai terlibat dalam menjejaskan keamanan, keselamatan atau kestabilan di Tebing Barat termasuk melakukan tindakan keganasan atau mengambil tindakan lain yang menyekat akses orang awam kepada perkhidmatan penting dan keperluan asas secara berlebihan, "kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken dalam satu kenyataan.

Presiden Joe Biden dan pegawai kanan AS lain sudah berulang kali memberi amaran bahawa Israel mesti bertindak untuk menghentikan keganasan yang dilakukan peneroka haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Serangan di Tebing Barat telah melonjak dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila penempatan Yahudi semakin bertambah dan meningkat semula sejak serangan pada 7 Oktober lalu.

Blinken menjelaskan kepada pegawai Israel semasa lawatan pada minggu lalu bahawa "mereka perlu melakukan lebih banyak usaha untuk menghentikan keganasan pelampau terhadap rakyat Palestin dan perlu bertanggungjawab," kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller kepada pemberita dalam taklimat akhbar selepas pengumuman itu.

Pemimpin Palestin juga mesti berbuat lebih banyak untuk mengekang serangan Palestin terhadap Israel di Tebing Barat, tambah Miller.

Larangan pertama bawah dasar baharu itu akan berkuat-kuasa pada Selasa, kata Miller.

"Kami menjangka akhirnya tindakan ini memberi kesan kepada berpuluh-puluh individu dan mungkin ahli keluarga mereka," kata Miller, sambil menambah bahawa mana-mana warga Israel yang mempunyai visa AS sedia ada yang menjadi sasaran akan dimaklumkan bahawa visa mereka telah dibatalkan.

Sejak perang Timur Tengah 1967, Israel telah menduduki Tebing Barat, yang dimahukan rakyat Palestin sebagai teras sebuah negara merdeka.

Mereka telah membina penempatan Yahudi di sana dan komuniti dunia menyifatkan ia adalah penempatan haram. Namun Israel mempertikaikan perkara tersebut dan membangkitkan hubungan sejarah dengan tanah itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN