TOKYO, 27 Februari-Kebakaran hutan di utara Jepun telah memusnahkan lebih 80 bangunan dan memaksa ratusan penduduk berpindah, dengan helikopter tentera dikerahkan untuk membantu memadamkan api, kata pihak berkuasa pada Khamis.
Rakaman udara daripada penyiar kebangsaan, NHK menunjukkan api marak membakar beberapa rumah sehingga hangus di kawasan berhutan di Ofunato, wilayah Iwate.
Menurut pihak berkuasa tempatan, hampir 600 penduduk berhampiran telah dipindahkan, namun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.
Sehingga pagi Khamis, pegawai bandar menganggarkan sekurang-kurangnya 84 bangunan telah rosak akibat kebakaran yang sedang dipadamkan oleh Pasukan Pertahanan Jepun dari udara.
Datuk Bandar Ofunato, Kiyoshi Fuchigami, menyifatkan kebakaran itu sebagai "berskala besar" pada malam Rabu, dengan anggaran sekitar 600 hektar (1,500 ekar) tanah,iaitu tiga kali ganda saiz Monaco telah terbakar.
Punca kebakaran masih belum diketahui, tambahnya.
Jepun mencatat kira-kira 1,300 kebakaran hutan pada tahun 2023, kebanyakannya berlaku antara Februari hingga April ketika udara menjadi kering dan angin bertiup kencang.
Dalam kejadian terbaru di Iwate, Fuchigami berkata "angin kencang" dari arah barat telah menyebabkan beberapa kebakaran kecil merebak dengan pantas di kawasan yang sama.
Seorang penduduk wanita berusia 45 tahun yang dipindahkan, memberitahu NHK bahawa kebakaran merebak ke rumahnya ketika dia pulang dari kerja.
"Saya lega kerana anak-anak saya selamat," katanya.
Seorang lagi penduduk lelaki berusia 32 tahun, berkata kepada penyiar tersebut bahawa ini adalah kali pertama dia melihat kebakaran berlaku secara berturut-turut dalam masa yang singkat.-AFP.