GENEVA, 17 Disember- Pasukan kemanusiaan akhirnya berjaya sampai ke salah satu hospital yang masih berfungsi di utara Gaza, pada hujung minggu lalu untuk menghantar bahan api, makanan dan ubat-ubatan.
Hospital Kamal Adwan terletak di Beit Lahia, sebuah bandar yang menjadi pusat operasi ketenteraan besar-besaran Israel.
Menurut Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menerusi platform X, selepas beberapa kali percubaan, agensi kesihatan PBB dan agensi lain akhirnya tiba di hospital itu dua hari lalu, di tengah-tengah konflik ketenteraan besar-besaran antara Israel dan Hamas.
Beliau berkata pasukan itu telah menghantar 5,000 liter bahan api, makanan dan ubat-ubatan serta memindahkan tiga pesakit dan enam pengiring ke Al-Shifa, iaitu hospital utama di wilayah Palestin.
Hospital Kamal Adwan merupakan antara kemudahan perubatan terakhir yang masih beroperasi di utara Gaza. WHO memberi amaran sebelum ini bahawa hospital itu beroperasi pada tahap minimum.
Agensi itu berkata usaha untuk menghantar bekalan yang sangat diperlukan sering tergendala.
Pada awal bulan ini, satu misi berjaya sampai ke hospital itu pada 30 November, selepas beberapa minggu percubaan tidak berjaya. Misi itu membawa bantuan dan satu pasukan kecemasan antarabangsa, termasuk pakar bedah dan pakar lain.
Namun, beberapa hari kemudian, pasukan tersebut adalah antara ramai yang menyelamatkan diri dari hospital itu, berikutan pertempuran di sekitar kawasan itu.
"Ini telah menyebabkan hospital itu kekurangan kakitangan khusus untuk rawatan pembedahan dan ibu bersalin," katanya.
Beliau berkata serangan tersebut telah menyebabkan kerosakan kepada hospital serta menjejaskan bekalan oksigen dan elektrik.
"Keadaan di hospital itu sungguh menyedihkan," katanya.
"Kami menyeru perlindungan terhadap penjagaan kesihatan dan agar kekejaman ini dihentikan! Gencatan senjata!"
Kementerian Kesihatan kendalian hamas berkata lebih 45,000 orang terkorban di Gaza, kebanyakannya orang awam dalam konflik berterusan Israel-Hamas di wilayah itu.-AFP