fb fb fb fb fb

'Kami dilayan seperti binatang, terpaksa minum air tandas' - Dedah Hazwani Helmi

Delegasi Malaysia, adik-beradik Nur Heliza Helmi (kanan) dan Nur Hazwani Afiqah Helmi (kiri) tiba di Lapangan Terbang Istanbul bersama 36 warga Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan Israel/Foto AFP

ISTANBUL, 5 Oktober - “Kami dilayan seperti binatang.. malah terpaksa minum air tandas untuk terus hidup.”

Itulah luahan penuh emosi aktivis kemanusiaan delegasi Malaysia, Hazwani Helmi, 28, yang tiba di Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel susulan pemintasan ganas terhadap Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa.

Hazwani bersama lebih 130 aktivis dari 13 negara, termasuk 36 warga Turkiye, diusir dari Israel selepas ditahan hampir dua hari tanpa air bersih, makanan mencukupi atau rawatan kesihatan.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Istanbul dengan pesawat khas Turkish Airlines disambut keluarga dan penyokong yang mengibarkan bendera Palestin dan Turkiye sambil melaungkan “Israel pembunuh.”

“Kami terpaksa minum air tandas kerana tidak cukup air bersih. Malah, beberapa rakan dari negara lain yang perlukan ubat-ubatan, semuanya dibuang oleh mereka,” katanya kepada AFP sejurus tiba di Istanbul.

“Walaupun kami dipenjarakan dalam sel pengganas, semangat kami tidak akan patah. Kami akan terus berjuang memecahkan sekatan dan menyampaikan bantuan ke Gaza.

“Saya harap dunia dapat melihat kekejaman tentera Israel. Kami datang tanpa senjata, hanya membawa bantuan dan harapan untuk rakyat Gaza,” tegasnya.

Hazwani dan kakaknya Heliza Helmi yang juga merupakan penyanyi tanah air merupakan antara wakil Malaysia dalam misi GSF yang menyertai konvoi kemanusiaan antarabangsa dengan membawa ubat-ubatan dan bekalan asas ke Gaza.

Mereka telah diserang serta ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 55 batu nautika dari Gaza.

Seorang aktivis Itali, Paolo Romano, menceritakan semua kapal dikepung puluhan kapal tentera bersenjata sebelum mereka dipaksa berlutut dan dipukul jika bergerak.

“Mereka ketawa, menghina dan memukul kami. Kami dipaksa mengaku masuk ke Israel secara haram, sedangkan kami berada di perairan antarabangsa — itu hak kami,” katanya.

Wartawan Itali, Lorenzo D’Agostino, turut menggambarkan layanan tentera Israel sebagai “penculikan di laut lepas” yang melanggar undang-undang antarabangsa.

“Kami diculik di perairan antarabangsa ketika berada 55 batu dari Gaza. Dua hari kami dikurung dalam keadaan menyeksakan sebelum dibebaskan hasil tekanan antarabangsa,” ujarnya.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, mengecam tindakan Israel itu sebagai “perbuatan pengganas negara”, dan menegaskan bahawa Ankara telah membuka siasatan rasmi terhadap kekejaman tersebut.

“Mereka adalah wira kemanusiaan yang membangkitkan suara nurani dunia,” katanya di platform X, merujuk kepada aktivis flotila yang digelar “Global Sumud” yang menyifatkan keteguhan Palestin.

Seorang lagi aktivis dari Libya, Malik Qutait, berikrar akan meneruskan misi bantuan baharu ke Gaza walau dihalang berkali-kali.

“Saya tidak akan gentar. Saya akan kumpulkan pasukan, ubat-ubatan dan kapal baharu — dan saya akan cuba lagi,” katanya penuh semangat.

Semalam, 137 aktivis dari 13 negara termasuk 23 delegasi Malaysia dan 36 rakyat Turkiye telah dibebaskan sebelum diterbangkan ke Istanbul.

Sebelum ini, 42 kapal bantuan yang membawa lebih 400 aktivis telah dipintas dalam operasi selama 12 jam oleh tentera laut Israel sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk soal siasat. -AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN