CHENGDU, 5 Disember -Presiden China, Xi Jinping, hari ini mengiringi Presiden Perancis, Emmanuel Macron, ke Empangan Dujiangyan di Chengdu.
Ia sebahagian daripada lawatan kerja Macron ke China bagi memperkukuh kerjasama dua hala dan hubungan China–EU.
Macron hadir bersama isterinya, Brigitte Macron, manakala Xi turut ditemani isterinya, Peng Liyuan.
Lawatan luar Beijing seperti ini jarang diberikan kepada pemimpin asing, menandakan kepentingan strategik Perancis dalam hubungan dengan China.
Delegasi kemudian diberikan taklimat mengenai struktur pengairan purba berusia lebih 2,000 tahun itu, yang telah mengawal aliran air di Chengdu sejak abad ke-3 sebelum Masihi.
Kedua-dua pemimpin meninjau kawasan empangan serta bangunan bersejarah sambil berbincang melalui penterjemah.
Lawatan ke Chengdu ini berlangsung sehari selepas pertemuan rasmi mereka di Beijing.
Pertemuan tersebut menyaksikan pemeteraian 12 perjanjian kerjasama merangkumi penuaan penduduk, tenaga nuklear dan pemuliharaan panda.
Nilai kewangan perjanjian tidak didedahkan.
Macron berada di China bersama ketua beberapa syarikat utama Perancis, namun Xi dijangka tidak meluluskan pesanan 500 pesawat Airbus yang telah lama dirundingkan.
Beijing mahu mengekalkan 'leverage' dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat, yang kini menekan China membuat komitmen pembelian Boeing. -REUTERS