TOKYO, 29 Januari- Jepun berkata ia menyertai negara lain dalam menangguh pembiayaan kepada agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin berikutan Israel menuduh beberapa kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) turut serta dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Agensi itu telah memecat beberapa kakitangan atas tuduhan Israel dan menjanjikan siasatan menyeluruh terhadap tuntutan itu.
Beberapa penderma utama agensi itu termasuk Amerika Syarikat dan Jerman telah menghentikan pembiayaan kepada UNRWA.
Jepun berkata pada Ahad ia "sangat bimbang tentang dakwaan penglibatan kakitangan UNRWA dalam serangan pada 7 Oktober tahun lalu."
"Jepun memutuskan untuk menangguhkan pembiayaan tambahan kepada UNRWA ketika ini sementara UNRWA menjalankan siasatan ke atas perkara itu dan mempertimbangkan langkah-langkah untuk menangani dakwaan tersebut," kata kenyataan kementerian luar.
"Pada masa sama, Jepun akan terus melakukan usaha diplomatik untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza dan meredakan keadaan secepat mungkin dengan memberikan sokongan kepada pertubuhan antarabangsa yang lain," tambahnya.- AFP