fb fb fb fb fb

Jepun nafi hala radar pengesan ke arah jet China

Shinjiro Koizumi/ REUTERS

TOKYO, 10 Disember - Jepun menafikan dakwaan bahawa pesawat pejuangnya menghalakan radar pengesan ke arah jet China.

Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi membuat kenyataan itu pada Rabu (10 Disember), susulan insiden hampir berlanggar antara kedua-dua angkatan udara berhampiran Kepulauan Okinawa pada Sabtu (6 Disember) ketika latihan ketenteraan dijalankan.

Kedua-dua negara Asia itu memberikan kenyataan berbeza mengenai insiden berkenaan di tengah ketegangan semakin memuncak.

Beijing menuduh pesawat Jepun berulang kali mendekati dan mengganggu operasi latihan penerbangan berasaskan kapal induk Tentera Laut China yang telah diumumkan lebih awal di timur Selat Miyako.

Sebelum insiden itu berlaku, sebuah kapal tentera laut China memaklumkan kepada pihak Jepun mengenai latihan udara yang dirancang. Namun menurut Koizumi maklumat yang diberikan dianggap tidak mencukupi untuk memastikan langkah keselamatan dan mengelakkan sebarang risiko ke atas Jepun.

Jepun sebelum ini menyatakan bahawa jet pejuang China dari kapal induk Liaoning telah menghalakan radar ke arah pesawat Jepun dalam dua kejadian berhampiran Kepulauan Okinawa.

Hubungan antara dua ekonomi terbesar Asia itu semakin tegang selepas Perdana Menteri Sanae Takaichi menegaskan di Parlimen pada November bahawa sekiranya China menyerang Taiwan, ia boleh dianggap sebagai situasi 'mengancam kelangsungan hidup' Jepun dan berpotensi mencetuskan tindak balas ketenteraan dari Tokyo.

Amerika Syarikat pada Selasa (9 Disember) menyatakan sokongan terhadap Jepun berhubung pertikaian tersebut, mengkritik tindakan China menghalakan radar ke arah pesawat tentera Jepun serta mengulangi komitmennya terhadap keselamatan Jepun.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI