fb fb fb fb fb

Jepun lulus pelan rangsangan ekonomi $140 bilion

Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba/ Foto Reuters

TOKYO, 22 November - Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, memaklumkan pada Jumaat bahawa kabinet akan meluluskan pelan rangsangan ekonomi bernilai $140 bilion, menurut laporan media tempatan.

Agensi berita Kyodo dan media lain melaporkan, Ishiba mengesahkan rancangan tersebut bertujuan meningkatkan perbelanjaan pengguna.

Ini selepas parti pemerintah mencatatkan keputusan pilihan raya terburuk dalam tempoh 15 tahun. 

Pakej tersebut merangkumi subsidi tenaga dan bahan api serta bantuan tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah, bertujuan merangsang perbelanjaan pengguna di negara ekonomi keempat terbesar dunia itu.

Menurut laporan media, impak keseluruhan pakej tersebut dianggarkan bernilai 39 trilion yen apabila mengambil kira pinjaman dan pelaburan sektor swasta.

Kabinet Ishiba merancang memformalkan langkah-langkah tersebut pada Jumaat dan membawa belanjawan tambahan untuk melaksanakannya ke parlimen sebelum akhir tahun, lapor Kyodo News.

Bagi mendapatkan sokongan mencukupi daripada ahli parlimen, Ishiba bersetuju memasukkan cadangan pembangkang, Parti Demokratik Rakyat (DPP), untuk menaikkan had ambang cukai pendapatan.

Langkah itu, menurut DPP akan membantu mengurangkan kekurangan tenaga kerja dan meningkatkan perbelanjaan pengguna dengan menggalakkan pekerja sambilan bekerja lebih lama dan memperoleh pendapatan tambahan.

Namun, para pengkritik bimbang langkah itu akan mengurangkan hasil cukai sebanyak trilion yen, sekali gus meninggalkan jurang besar dalam belanjawan negara dan tempatan.

Jepun kini sudah mempunyai salah satu nisbah hutang negara kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tertinggi di dunia, dan perbelanjaan kerajaan dijangka terus meningkat selaras dengan penuaan penduduk dan kekurangan tenaga kerja yang semakin meruncing. - AFP

TETITIA YUSOFF