fb fb fb fb fb

Jepun ketatkan protokol kawalan trafik udara selepas nahas

Foto AFP

TOKYO, 10 Januari - Jepun telah mengetatkan protokol kawalan trafik udaranya selepas perlanggaran di lapangan terbang utama Tokyo yang mengorbankan lima nyawa.

Langkah keselamatan kecemasan itu diumumkan Kementerian Pengangkutan selepas pesawat penumpang, Japan Airlines merempuh sebuah pesawat pengawal pantai di landasan Lapangan Terbang Haneda pada 2 Januari lalu.

Kesemua 379 penumpang dan anak kapal di dalam pesawat itu telah dipindahkan dengan pantas, namun lima daripada enam anak kapal pesawat pengawal pantai yang bersedia berlepas ke kawasan yang dilanda gempa bumi untuk menghantar bekalan, maut.

Di bawah keperluan baharu yang dilaksanakan di seluruh negara, seorang kakitangan mesti sentiasa memantau sistem pemantauan yang memberi amaran kepada menara kawalan apabila terdapat ketidaktentuan kepada landasan.

"Dan untuk mengelakkan salah faham, pengawal menara kawalan tidak boleh memberitahu pesawat nombor dalam barisan mereka untuk berlepas, kata kementerian itu dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman webnya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Tetsuo Saito berkata “salah satu misi terbesar saya adalah untuk memulihkan keyakinan dalam penerbangan sebagai pengangkutan awam,” kata Saito pada Selasa.

Kementerian akan melantik panel pakar untuk memperincikan lebih lanjut cara untuk meningkatkan keselamatan, dimana cadangan mereka akan diumumkan minggu ini.

Sekurang-kurangnya 23 "insiden serius" yang berisiko berlakunya perlanggaran landasan dilaporkan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun dalam tempoh sedekad, menurut akhbar Asahi.

Menerusinya, lima kes adalah disebabkan kesilapan dalam kawalan trafik udara, kata akhbar itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN