TOKYO, 10 Disember - Jepun mengerahkan pesawat pejuangnya selepas mengesan rondaan udara bersama oleh tentera udara Rusia dan China di sekitar negara itu, kata Kementerian Pertahanan Jepun pada Selasa.
Dua pengebom strategik Rusia Tu-95 berkeupayaan nuklear berlepas dari Laut Jepun menuju Laut China Timur sebelum bergabung dengan dua pengebom China H-6 untuk penerbangan jauh di Lautan Pasifik.
Empat jet pejuang China J-16 turut mengiringi misi tersebut melalui Selat Miyako, yang merupakan perairan antarabangsa.
Pada masa sama, Jepun turut mengesan sebuah pesawat amaran awal A-50 dan dua jet Su-30 Rusia di Laut Jepun.
Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi, menyifatkan operasi itu sebagai 'tindakan menunjukkan kekuatan terhadap negara kita' dan berkata ia menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan negara.
Rusia memaklumkan bahawa rondaan bersama itu berlangsung selama lapan jam.
Kerjasama ketenteraan Beijing-Moscow semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk latihan pertahanan peluru berpandu dan latihan tembakan hidup di Laut China Selatan. -REUTERS