fb fb fb fb fb

Jepun jadi tuan rumah mesyuarat pembinaan semula Ukraine

Denys Shmyhal/ REUTERS

TOKYO, 19 Februari- Jepun menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal di Tokyo untuk membincangkan pembinaan semula Ukraine selain perjanjian cukai dua hala baharu dan sokongan lain untuk perniagaan Jepun ketika perang Ukraine berlanjutan.

"Jepun terus bersama-sama dengan Ukraine," kata Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dalam ucapan membuka rundingan. Beliau turut mengumumkan perjanjian cukai dua hala baharu dan permulaan rundingan untuk perjanjian pelaburan tanpa memberikan butiran.

Ketika konflik Rusia-Ukraine memasuki tahun ketiga, Jepun menjanjikan bantuan kewangan bernilai lebih $10 bilion, kerana ia berusaha untuk menunjukkan solidariti dengan usaha perang Kiev.

Negara itu tidak dapat memberikan sokongan ketenteraan secara langsung kerana undang-undang melarang pengeksportan senjata.

Namun Jepun melonggarkan sebahagian peraturan eksport senjatanya pada Disember. Rombakan itu dilakukan dalam hampir sedekad, tetapi masih mempunyai sekatan ke atas penghantaran senjata ke negara bergolak.

Shmyhal berkata melalui penterjemah, pertemuan itu menandakan lembaran baharu dalam hubungan Jepun-Ukraine, sambil menambah bahawa rakyat Ukraine tidak akan melupakan sokongan Jepun.

Beliau turut berharap untuk melihat pembuat kereta utama, termasuk Toyota, membuka cawangan baharu dan mewujudkan kemudahan pengeluaran di Ukraine.

Pada mesyuarat itu, Kishida berkata Jepun akan menyokong syarikat modal untuk meneroka peluang perniagaan di Ukraine. Selain itu akan melonggarkan kawalan visa, dan berkata agensi kerajaan JETRO akan membuka pejabat baharu di Kiev.

Kira-kira 50 syarikat Jepun menandatangani perjanjian dengan rakan sejawatan dari Ukraine dalam persidangan itu, termasuk pertanian, tenaga dan infrastruktur. Namun jumlah nilai urus niaga tidak didedahkan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI