fb fb fb fb fb

Insiden letupan alat kelui di Lubnan, Hizbullah ikrar balas dendam

Foto REUTERS

BEIRUT, 18 September– Kumpulan pejuang Hizbullah berikrar untuk bertindak balas terhadap Israel selepas insiden letupan alat kelui (pager) di seluruh Lubnan pada Selasa.

Insiden itu menyebabkan sembilan orang terbunuh dan mencederakan hampir 3,000 yang lain termasuk pejuang dan utusan Iran ke Beirut.

Menteri Penerangan Lubnan Ziad Makary mengutuk insiden letupan alat itu, yang digunakan Hizbullah dan anggotanya di Lubnan sebagai peranti komunikasi. Beliau menyifatkan ia sebagai pencerobohan Israel.

Kumpulan pejuang Hizbullah berkata Israel akan menerima hukuman yang adil terhadap insiden letupan itu.

Bagaimanapun, tentera Israel yang terlibat dalam konflik rentas sempadan dengan Hizbullah yang disokong Iran sejak permulaan perang Gaza pada Oktober, enggan memberi maklum balas mengenai letupan itu.

Sementara itu, angka kematian meningkat daripada lapan kepada sembilan, manakala seramai 2,750 orang mengalami kecederaan.

Hizbollah dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya dua anggotanya dan seorang kanak-kanak perempuan maut.

Letupan alat kelui itu berlaku di selatan Lubnan, pinggir selatan Beirut yang dikenali sebagai Dahiyeh dan timur Lembah Bekaa. Kedua-dua lokasi adalah kubu kuat pejuang Hizbullah.

Seorang pegawai Hizbullah yang enggan dikenali berkata bahawa insiden itu adalah pencerobohan keselamatan terbesar bagi kumpulan tersebut, sejak konflik dengan Israel dalam tempoh hampir setahun.

Dalam pada itu, kumpulan pejuang Hamas menegaskan, insiden itu akan membawa Israel kepada kegagalan dan kekalahan.

Manakala, Penyelaras Khas PBB untuk Lubnan Jeanine Hennis-Plasschaert dalam kenyataan mengecam serangan itu. Beliau berkata ia menandakan peningkatan yang amat membimbangkan dalam konflik itu.

Dua sumber yang mengetahui operasi Hizbullah, memberitahu Reuters bahawa pejuang Hizbullah menggunakan alat kelui sebagai alat komunikasi dalam usaha mengelak dikesan Israel.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN