JAKARTA, 15 Mac- Indonesia akan mengguna pakai skim gelembung perjalanan untuk penganjuran sidang kemuncak G20 bagi memastikan keselamatan delegasi dan kakitangan terjamin daripada jangkitan COVID-19.
Skim itu akan menjadi garis panduan untuk setiap aktiviti pada sidang kemuncak dua hari di Bali yang berakhir 16 November.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Siti Nadia Tarmizi dalam satu kenyataan berkata, gelembung perjalanan pertama adalah untuk perwakilan negara G20 termasuk rombongan utama mereka.
Manakala gelembung perjalanan kedua ke atas peserta dan wartawan.
"Gelembung perjalanan ketiga pula untuk penganjur sidang kemuncak dan pegawai di lapangan, dan terakhir kepada semua kakitangan operasi dan sokongan yang terlibat dalam urusan penganjuran sidang kemuncak itu," katanya.
(FOTO AFP)
Langkah-langkah keselamatan lain termasuk vaksinasi, pemeriksaan kesihatan berkala dan ujian saringan.
Sebelum ketibaan, semua peserta dikehendaki lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan menunjukkan sijil vaksin mereka. -AFP