fb fb fb fb fb

India sahkan lancar Operasi Sindoor, serang 9 sasaran di Pakistan & Kashmir

Sebahagian struktur Masjid Bilal yang rosak kelihatan selepas ia terkena serangan India di Muzaffarabad, ibu negara wilayah Pakistan / REUTERS

NEW DELHI, 7 Mei- India mengesahkan telah melancarkan serangan terhadap sembilan lokasi di Pakistan dan Kashmir yang diduduki Pakistan, pada Rabu, dalam tindak balas terhadap serangan berdarah ke atas pelancong Hindu di Kashmir bulan lalu yang mengorbankan 26 nyawa.

Dalam satu kenyataan di platform media sosial X, Direktorat Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan India berkata serangan yang dinamakan sebagai "Operasi Sindoor" itu merupakan tindak balas yang "tepat dan terkawal" terhadap apa yang digelar sebagai Serangan Pengganas Pahalgam.

“Serangan tertumpu dilaksanakan ke atas sembilan infrastruktur pengganas di Pakistan dan wilayah Jammu dan Kashmir yang diduduki Pakistan, menyasarkan akar perancangan keganasan rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa tiada fasiliti ketenteraan Pakistan yang menjadi sasaran, sebagai bukti pendekatan India yang berhati-hati dan tidak bertujuan memburukkan lagi konflik.

Sementara itu, pihak berkuasa Pakistan melaporkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 12 lagi cedera dalam serangan tersebut, berdasarkan penilaian awal.

Ketegangan antara kedua-dua negara berjiran yang memiliki senjata nuklear itu terus memuncak sejak serangan di Kashmir India baru-baru ini, yang sekali lagi menyalakan api konflik lama antara New Delhi dan Islamabad.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE