SWITZERLAND, 10 Disember - Kekurangan zat makanan yang dialami para ibu di Gaza semakin parah hingga menyebabkan peningkatan ketara jumlah bayi pramatang atau kurang berat badan.
Pengurus Komunikasi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangs Bersatu (UNICEF) Tess Ingram berkata, situasi kritikal itu yang menyebabkan ramai bayi baru lahir berisiko tinggi meninggal dunia di unit rawatan rapi atau berdepan kesukaran untuk hidup dalam keadaan kebuluran melampau.
"Seramai sekurang-kurangnya 165 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat malnutrisi sepanjang perang di Genting Gaza — satu angka yang menyakitkan dan sebenarnya boleh dicegah.
"Namun apa yang kurang diberi perhatian adalah tahap malnutrisi serius dalam kalangan wanita hamil dan menyusu, serta kesannya yang membawa malapetaka terhadap ribuan bayi baru lahir.
"Di hospital-hospital Gaza, saya bertemu beberapa bayi yang beratnya kurang satu kilogram, dada mereka terangkat-angkat berusaha untuk terus hidup. Bayi dengan berat lahir rendah seperti ini 20 kali lebih berisiko meninggal dunia berbanding bayi dengan berat normal," kata Ingram dalam sidang media di Geneva, di sini.
Beliau menyatakan jumlah wanita hamil dan menyusu mengalami malnutrisi akut meningkat dengan cepat, pada Oktober sahaja kira-kira 8,300 wanita menerima rawatan berkaitan.
Walaupun Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) giat menggantikan inkubator dan mesin pernafasan yang rosak, serta menyediakan makanan tambahan berkhasiat kepada wanita hamil, bantuan tersebut masih sukar disampaikan kepada mereka yang memerlukan.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA) pada Isnin memaklumkan bahawa keadaan keselamatan yang tidak terjamin, selain kelewatan dan penolakan kargo di pintu masuk, terus menyekat penghantaran bekalan penting yang amat diperlukan.- REUTERS