fb fb fb fb fb

Hungary sedia ratifikasi Sweden, bekerjasama dalam industri pertahanan

Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban/AFP

BUDAPEST, 23 Februari- Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban berkata kerajaannya akan menandatangani perjanjian industri pertahanan bersama Sweden.

Persetujuan itu susulan pertemuan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson di Budapest pada Jumaat, ketika Hungary bersedia untuk meratifikasi Sweden sebagai anggota NATO.

"Kami akan menutup semua isu yang belum selesai, dan kami akan menandatangani perjanjian industri pertahanan yang jelas selain kami juga akan meletakkan beberapa keputusan atau matlamat mengenai kerjasama ketenteraan," kata Orban kepada radio kerajaan.

Bagaimanapun, Orban tidak memberikan butiran lanjut.

Kedua-dua perdana menteri itu akan mengadakan sidang akhbar pada Jumaat, sebelum parlimen Hungary akan meluluskan bidaan keanggotaan Sweden dalam NATO menerusi undian pada Isnin.

"Pada Isnin, parlimen Hungary akan meletakkan pemeteraian terakhir berhubung perjanjian itu," kata Orban kepada radio.

Sweden memohon untuk menyertai pakatan transatlantik hampir dua tahun lalu, dalam peralihan dasar bersejarah daripada ketidakselarasan yang didorong pencerobohan berskala penuh Rusia ke atas Ukraine.

Hungary adalah satu-satunya anggota NATO yang masih belum meratifikasi penyertaan negara Nordik itu, dengan parti pemerintah Orban Fidesz berulang kali menangguhkan undian.

Kelewatan itu adalah berpunca daripada Sweden yang mengkritik Hungary, mengenai piawaian undang-undang.

Fidesz menguasai majoriti besar di parlimen dan ia boleh meluluskan keahlian negara Nordik itu pada bila-bila masa, sejak undang-undang berkaitan diserahkan kepada penggubal undang-undang pada pertengahan 2022.

Situasi itu telah menjejaskan hubungan Budapest dengan Amerika Syarikat dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM