fb fb fb fb fb

Hospital Kamal Adwan tidak lagi berfungsi akibat serangan Israel

Foto REUTERS

GAZA, 28 Disember- Tentera Israel telah menyerang dan menahan pengarah sebuah hospital di utara Gaza.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), serangan terhadap Hospital Kamal Adwan telah menyebabkan fasiliti kesihatan utama di utara Gaza itu tidak lagi berfungsi.

"Laporan awal menunjukkan beberapa jabatan utama terbakar dan musnah semasa serangan itu," menurut kenyataan WHO di platform X.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa tentera Israel telah membawa puluhan kakitangan perubatan dari Hospital Kamal Adwan ke pusat tahanan untuk disoal siasat, termasuk pengarahnya, Hossam Abu Safiyeh.

Jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmud Bassal, berkata Israel telah menghancurkan sepenuhnya sistem perubatan, kemanusiaan, dan pertahanan awam di utara, menjadikannya tidak berfungsi.

Terdahulu, Israel telah melancarkan serangan di kawasan Hospital Kamal Adwan, dengan mendakwa fasiliti itu merupakan kubu kuat kumpulan Hamas.

Sementara itu, Hamas menafikan keberadaan mereka di hospital berkenaan. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM