FOTO AFP
ALMATY, 10 Januari- Hampir 8,000 orang ditahan selepas beberapa hari tunjuk perasaan antikerajaan yang turut menyebabkan puluhan orang terbunuh.
Bantahan didakwa tercetus hanya kerana kenaikan harga minyak yang turut disusuli isu politik.
"Setakat 10 Januari sebanyak 7,939 individu telah ditahan" menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Kazakhstan, negara bekas kesatuan Soviet, hari ini terus memantau keadaan selepas bantahan terburuk dalam sejarah kemerdekaan negara republik itu.
Jawatankuasa Keselamatan Negara menerusi satu kenyataan menjelaskan bangunan serta fasiliti kerajaan termasuk tentera kini sepenuhnya berada bawah pengawasan perkhidmatan keselamatan.
"Kawasan militan dan perusuh yang mungkin menjadi tempat bersembunyi sudah dikawal. Bukti aktiviti jenayah sedang dikumpul dan disimpan," jelas kenyataan itu.
Kerajaan mendakwa keganasan terbaru itu dicetuskan kumpulan pengganas dan mengkritik liputan media asing yang melaporkan bantahan tercetus akibat kenaikan harga minyak pada awal bulan ini.
Ketika protes memuncak, Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) diketuai Moscow menghantar 2,500 tentera pengaman ke Kazakhstan sebagai reaksi kepada permintaan Presiden Kassym-Jomart Tokayev.
Lewat hari ini, pemimpin CSTO - pakatan negara bekas kesatuan Soviet termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin dijadual mengadakan pertemuaan secara maya.
Selain Rusia, CSTO dianggotai Belarus, Armenia, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan. -AFP