fb fb fb fb fb

Hamas teruja meterai perjanjian damai Gaza segera

Foto AFP

GAZA, 5 Oktober - Hamas tidak sabar untuk memeterai perjanjian damai bagi menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza, serta mempercepat pertukaran tahanan dengan Israel.

Delegasi rundingan daripada kedua-dua pihak berbalah kini berkumpul di Mesir untuk memulakan rundingan damai.

Wakil perunding Hamas dan Israel bersedia untuk membentangkan perincian butiran masing-masing dalam usaha menamatkan penderitaan rakyat Palestin di wilayah terkepung itu.

Ia susulan pengumuman Hamas yang menyatakan persetujuan terhadap pelan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

"Kumpulan pejuang Palestin sangat berharap agar perjanjian damai dapat dimeterai, dan segera memulakan proses pertukaran tahanan mengikut syarat yang ditetapkan," menurut seorang pegawai kanan Hamas.

"Tentera penceroboh tidak boleh menghalang pelaksanaan rancangan Presiden Trump. Jika mereka mempunyai niat yang tulus untuk mencapai persetujuan, Hamas sudah bersedia," tambahnya.

Delegasi perunding Hamas yang berlepas dari Doha, Qatar dijangka tiba di Kaherah, hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Sharm el-Sheikh untuk mengambil bahagian dalam rundingan tidak langsung dengan Israel. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN