fb fb fb fb fb

Hamas seru gencatan senjata Gaza, selepas perjanjian Lubnan

Foto Reuters

KAHERAH, 27 November- Hamas pada Rabu menyatakan bahawa pihaknya menghargai hak Lubnan dan Hizbullah mencapai persetujuan untuk melindungi rakyatnya, sekali gus berharap perjanjian tersebut turut membuka jalan menamatkan perang di Gaza.

Pegawai Hamas, Sami Abu Zuhri berkata gencatan senjata antara Israel dan gerakan Hizbullah Lubnan berkuat kuasa pada Rabu, selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian yang ditaja oleh Amerika Syarikat dan Perancis.

Namun, usaha antarabangsa untuk menghentikan perang selama 13 bulan antara Hamas dan Israel di wilayah Palestin, Gaza masih terhenti.

“Hamas menghargai hak Lubnan dan Hizbullah untuk mencapai perjanjian yang melindungi rakyat Lubnan dan kami berharap perjanjian ini dapat membuka jalan untuk menamatkan perang pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat kami di Gaza,” ujar Abu Zuhri kepada Reuters.

Hamas dalam kenyataan kemudian mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dalam mencapai gencatan senjata, dengan syarat-syaratnya yang masih tidak berubah.

“Kami komited untuk bekerjasama dalam apa-apa usaha untuk mencapai gencatan senjata di Gaza dan ingin menamatkan pencerobohan terhadap rakyat kami,” kata Hamas.

Hamas menambah bahawa perjanjian merangkumi penamatan perang, menarik keluar tentera Israel dari Gaza, membolehkan penduduk yang terjejas kembali ke rumah mereka serta mencapai pertukaran tawanan antara kedua-dua pihak.

Serangan ketenteraan Israel pada Rabu menyebabkan 15 kematian di seluruh Gaza, termasuk di sebuah sekolah yang menempatkan pelarian, menurut pegawai perubatan.

Berbulan-bulan rundingan untuk gencatan senjata di Gaza menunjukkan kemajuan yang sedikit.

Qatar, sebagai perantara, kini menggantung usahanya sehingga kedua-dua pihak bersedia membuat kompromi.

Abu Zuhri menyalahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas kegagalan mencapai perjanjian.

“Hamas menunjukkan kerjasama tinggi untuk mencapai persetujuan dan masih komited dengan pendirian itu,” tambahnya.

Namun, Netanyahu terus menegaskan bahawa perang hanya akan berakhir selepas Hamas dimusnahkan.

Beliau menyeru komuniti antarabangsa supaya mendesak Israel menghentikan perang di Gaza dan langkah-langkah agresif terhadap rakyat Palestin.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, pada Selasa berkata pentadbirannya sedang berusaha untuk mencapai gencatan senjata di Gaza.- REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN