fb fb fb fb fb

Gempa bumi Jepun: Lima orang disahkan maut

Penduduk digesa segera berpindah berikutan amaran tsunami untuk wilayah Niigata, Toyama dan Ishikawa di sebelah Laut Jepun/FOTO REUTERS

TOKYO, 2 Januari - Sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut dalam kejadian gempa bumi kuat yang melanda wilayah tengah Jepun Ishikawa pada Hari Tahun Baharu semalam.

Polis dan pihak berkuasa tempatan pada awal hari ini melaporkan sedang menjejak mayat mangsa di bawah runtuhan gempa bumi berukuran 7.6 magnitud.

Gempa itu memusnahkan banyak bangunan, dengan puluhan ribu kediaman terputus bekalan elektrik.

Pihak berkuasa telah menggesa orang ramai untuk menyelamatkan diri dengan berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Amaran tsunami besar dikeluarkan apabila dijangkakan tsunami setinggi 3 meter atau lebih.

Kerajaan Jeputn turut mengerahkan angkatan tentera untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.

Manakala sebuah lapangan terbang tempatan ditutup selepas gempa menyebabkan retakan pada landasan.

Sehingga kini tahap kerosakan serta jumlah kematian belum dapat dikenal pasti.

Laluan jalan-jalan utama juga terjejas teruk sekali gus menghalang usaha untuk menyelamat.

Menurut penyiar awam NHK, Hospital di bandar Suzu bergantung kepada penjana sementara akibat gangguan bekalan elektrik.

Seorang lelaki berusia 90-an disahkan meninggal dunia selepas sebuah bangunan runtuh di Bandar Shika di wilayah Ishikawa, lapor stesen penyiaran NTV yang memetik polis tempatan.

Kyodo News memetik Pasukan Pengurusan Krisis Wilayah, empat kematian dilaporkan di Ishikawa.

Mangsa korban seorang lelaki dan wanita berusia 50-an, seorang budak lelaki, dan seorang lelaki berusia 70-an.

Semalam, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata pasukan mencari dan menyelamat berdepan kesukaran untuk sampai ke kawasan yang paling teruk terjejas berikutan jalan yang rosak.

Sementara itu,Presiden Joe Biden berkata dalam satu kenyataan bahawa Amerika Syarikat bersedia untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan selepas kejadian gempa bumi itu.

Semalam, kerajaan Jepun telah mengarahkan lebih daripada 97,000 orang di sembilan wilayah di pantai barat pulau utama Honshu untuk berpindah.

Kesemua penduduk terjejas berlindung di dewan sukan dan gimnasium sekolah yang mana biasa digunakan sebagai pusat pemindahan ketika kecemasan.

Menurut laman web Hokuriku Electric Power, hampir 33,000 isi rumah terputus bekalan elektrik yang terletak wilayah Ishikawa pada awal pagi hari ini. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN