fb fb fb fb fb

Gempa bumi 7.3 skala Richter gegarkan timur Jepun

(Pemandangan menunjukkan Sungai Sumida di Tokyo selepas gempa bumi kuat berukuran 7.3 pada skala Richter menggegarkan timur Jepun/AFP)

TOKYO, 17 Mac - Gempa bumi kuat berukuran 7.3 pada skala Richter menggegarkan timur Jepun, lewat malam tadi.

Kejadian tersebut menyebabkan ibu negara, Tokyo bergegar.

Menurut laporan, gempa itu menyebabkan berlakunya gelombang tsunami kecil yang melanda beberapa pantai.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan, gegaran turut menyaksikan bekalan elektrik terputus sementara waktu, sekali gus menjejaskan lebih dua juta isi rumah.

Jurucakap pihak berkuasa Hirokazu Matsuno memberi amaran kemungkinan akan berlakunya gempa susulan selepas ini.


(Orang ramai berada di sepanjang jalan di kawasan perumahan semasa bekalan elektrik terputus akibat gempa bumi di daerah Koto, Tokyo/AFP)

Penduduk diminta tidak mendekati kawasan bangunan runtuh dan tempat-tempat berisiko.

Gesaan sama turut disuarakan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

Dalam perkembangan sama, gempa yang berlaku di luar Fukushima mengakibatkan 69 kecederaan.

Menurut laporan stesen penyiar awam NHK, kejadian turut mengorbankan satu nyawa.

Sementara itu, kejadian sama menyebabkan kereta api peluru Shinkansen yang membawa 100 penumpang, tergelincir dan tiada kecederaan dilaporkan. - AFP

Media Baharu