SINGAPURA, 11 Jun- Singapore Airlines (SIA) menawarkan pampasan bermula AS$10,000 kepada setiap penumpang mengikut tahap kecederaan yang dialami akibat insiden pergolakan udara ketika penerbangan SQ321 dari Heathrow, London ke Singapura, bulan lalu.
SIA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menghantar e-mel mengenai tawaran pampasan AS$10,000 itu kepada penumpang yang mengalami kecederaan ringan.
"Bagi penumpang yang mengalami kecederaan lebih serius... kami telah menjemput mereka untuk berbincang mengenai nilai pampasan yang sepatutnya apabila mereka bersedia berbuat demikian atau kembali sihat.
"Penumpang yang memerlukan rawatan jangka panjang dan bantuan kewangan pula akan diberi bayaran pendahuluan sebanyak AS$25,000 untuk memenuhi keperluan segera mereka," menurut kenyataan itu.
Selain itu, SIA juga akan memulangkan wang tambang kesemua penumpang terlibat termasuk mereka yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Semua penumpang akan menerima pampasan kelewatan mengikut peraturan Kesatuan Eropah (EU) atau United Kingdom yang berkaitan," katanya lagi.
Ketika ini, seramai 11 orang penumpang masih menerima rawatan di hospital dekat Bangkok, Thailand, kata jurucakap SIA kepada AFP.
"SIA kekal komited untuk menyokong (perubatan) penumpang terjejas yang berada dalam SQ321 tempoh hari," katanya.
Dalam tragedi pada 21 Mei lalu, seorang penumpang lelaki warga Britain, 73, maut dan kira-kira 30 penumpang cedera selepas penerbangan dari London ke Singapura itu melakukan pendaratan cemas di Bangkok, Thailand.
SQ321 yang ketika itu membawa seramai 211 penumpang dan 18 anak kapal berdepan "gelora udara ganas" ketika melalui Lembangan Irrawaddy di utara Myanmar.
Ia menyebabkan penumpang dan anak kapal terhumban ke sekitar kabin termasuk ada yang terhempas ke beberapa bahagian termasuk ke siling. -AFP
BERITA BERKAITAN