fb fb fb fb fb

GCC tegaskan sokongan teguh terhadap hak Palestin

FOTO AFP

DUBAI, 13 Februari- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menegaskan sokongan berterusan terhadap perjuangan Palestin, sambil menekankan keperluan rakyat Palestin untuk memperoleh hak sah mereka, termasuk semua wilayah yang diduduki, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Setiausaha Agung GCC Jasem Albudaiwi, mengulangi pendirian tegas itu ketika berucap pada sesi dialog "Keadaan Dunia Arab" sempena Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2025 di Dubai.

Turut serta dalam sesi itu ialah Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit.

Albudaiwi menegaskan bahawa isu Palestin perlu diselesaikan selaras dengan resolusi antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab mereka dalam menyokong rakyat Palestin dan menentang sebarang halangan terhadap hak mereka.

Beliau turut menekankan kepentingan usaha diplomasi dan penyelesaian secara aman bagi mencapai penyelesaian menyeluruh, termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka berasaskan sempadan Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta menangani hak pelarian mengikut Inisiatif Keamanan Arab dan resolusi antarabangsa berkaitan.- BERNAMA-SPA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE