LAOAG, 6 Mei- Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Filipina melepaskan tembakan peluru berpandu dan artileri ke arah pasukan 'tentera penceroboh' dalam latihan perang di pantai utara Filipina pada Isnin.
Latihan itu diadakan beberapa hari selepas Manila membantah tindakan China di perairan Laut China Selatan.
Anggota tentera AS dan Filipina sedang melakukan latihan gerakan darat, laut dan udara, walaupun konfrontasi antara kapal China dan Filipina di sekitar beting di Laut China Selatan yang dituntut oleh Manila masih berlaku serta ketegangan itu turut meningkatkan aktiviti udara dan tentera laut China di sekitar Taiwan.
Tentera AS yang berada di kawasan bukit pasir di pantai barat laut pulau Luzon, kira-kira 400 kilometer (km) ke selatan Taiwan, melepaskan lebih 50 peluru howitzer 155mm ke arah sasaran terapung kira-kira lima km di luar pantai.
Tentera Filipina menyusuli dengan menembak roket yang bertujuan melemahkan 'penyerang', sebelum kedua-dua pasukan itu menggunakan senjata automatik, peluru berpandu Javelin dan meriam.
Leftenan Jeneral Michael Cederholm, komander Pasukan Ekspedisi Marin Pertama AS, berkata latihan itu adalah untuk mempersiapkan diri menghadapi kemungkinan yang terburuk dan menjaga kawasan maritim utama.
"Ia direka untuk menangkis pencerobohan," katanya kepada pemberita di tapak latihan.
Pengarah latihan untuk Filipina, Mejar Jeneral Marvin Licudine memberitahu AFP, barat laut negara itu lebih terdedah.
"Disebabkan masalah serantau yang ada, kami perlu berlatih dan menumpukan pada tanah kami sendiri di bahagian ini," katanya.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan walaupun terdapat keputusan antarabangsa bahawa dakwaannya tidak mempunyai asas undang-undang.
Ia mengerahkan beratus-ratus pengawal pantai, tentera laut dan kapal lain untuk meronda perairan Laut China Selatan.
Minggu lalu, Manila berkata Pengawal Pantai China merosakkan sebuah kapal Pengawal Pantai Filipina dan sebuah lagi kapal kerajaan dalam serangan meriam air di sekitar Beting Scarborough yang dituntut China, pada 30 April.
Lebih 16,700 tentera Filipina dan AS mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan tahunan digelar Balikatan, atau 'berganding bahu' dalam bahasa Tagalog di beberapa lokasi di seluruh kepulauan Asia.
Konfrontasi maritim antara China dan Filipina menimbulkan kebimbangan konflik yang lebih luas sehingga melibatkan AS dan sekutu lain.
Latihan kali ini diadakan beberapa hari selepas menteri pertahanan Filipina, AS, Jepun dan Australia bertemu di Hawaii serta mengeluarkan kenyataan bersama mengenai bantahan keras mereka terhadap kelakuan berbahaya dan tidak stabil China di Laut China Selatan.
Jemaah menteri itu turut membincangkan peluang untuk memajukan lagi kerjasama pertahanan dan untuk kerjasama menyokong negara-negara yang melaksanakan hak dan kebebasan mereka di Laut China Selatan.
Minggu lalu, tentera AS mengambil bahagian dalam latihan Balikatan melepaskan roket HIMARS ke Laut China Selatan dari pulau barat Palawan, daratan utama Filipina paling hampir dengan Kepulauan Spratly, yang menjadi pertikaian hangat.
Kor Marin AS berkata, gerakan itu adalah latihan untuk penempatan pantas sistem peluru berpandu di seluruh pantai Laut China Selatan di Filipina untuk menjaga dan melindungi kawasan maritim Filipina, perairan wilayah dan kepentingan zon ekonomi eksklusif.
Konfrontasi antara Filipina dan China berlaku ketika ketegangan semakin memuncak antara Beijing dan Taipei, yang bakal melantik presiden baharu yang dianggap oleh China sebagai 'pemisah berbahaya'.
Kementerian pertahanan Taiwan berkata pada Jumaat, pihaknya mengesan 26 pesawat China dan lima kapal tentera laut di sekitar pulau yang diperintah sendiri dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Setiausaha Luar Filipina, Enrique Manalo, dalam ucapan yang disampaikan bagi pihaknya oleh seorang pembantu di bengkel awam pada Jumaat, berkata pada tahap tertentu, latihan ketenteraan adalah satu bentuk pencegahan.
"Semakin banyak kita melakukan simulasi, makin kurang keperluan kita untuk bertindak," katanya. - AFP