fb fb fb fb fb

EU seru gencatan senjata segera di Lubnan

FOTO AFP

BRUSSELS, 27 September- Kesatuan Eropah (EU) menyeru dua pihak yang bertelagah di Lubnan untuk segera melaksanakan gencatan senjata merentasi Blue Line, yang akan menamatkan semua ancaman rentas sempadan secara berkesan dan segera, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

EU juga menggesa kedua-dua pihak untuk berusaha ke arah pelaksanaan penuh dan simetri bagi Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), demi memastikan kepulangan selamat bagi penduduk yang dipindahkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian rundingan yang lebih luas.

Kesatuan Eropah amat prihatin dengan permusuhan ketenteraan yang semakin memuncak dalam serangan baru-baru ini di kawasan padat penduduk.

"Kami kesal dan kecewa terhadap akibat yang perlu ditanggung orang awam, termasuk kanak-kanak dan kakitangan PBB, serta menggesa agar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dihormati dalam semua keadaan.

"Peningkatan ketegangan selanjutnya akan membawa kesan dramatik kepada rantau ini dan seterusnya,” kata Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Josep Borrell dalam satu kenyataan.

Resolusi 2749 Majlis Keselamatan PBB, yang diluluskan sebulat suara pada 28 Ogos 2024, menggesa semua pihak yang berkaitan melaksanakan langkah segera ke arah meredakan ketegangan, katanya.-BERNAMA-WAM

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE