fb fb fb fb fb

Erdogan tidak hirau tekanan AS minta putus hubungan dengan Hamas

Recep Tayyip Erdogan/AFP

ISTANBUL, 2 Disember- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menolak tekanan yang semakin meningkat dari Amerika Syarikat (AS) agar Ankara memutuskan hubungan bersejarahnya dengan Hamas.

Pegawai tertinggi pembiayaan keganasan Perbendaharaan AS menyampaikan kebimbangan Washington yang 'mendalam' mengenai hubungan masa lalu Ankara dengan Hamas ketika lawatan ke Turkiye minggu ini.

Setiausaha Keganasan dan Risikan Kewangan AS, Brian Nelson berkata, Washington tidak mengesan sebarang wang melalui Turkiye kepada Hamas sejak perang Gaza meletus lapan minggu lalu.

Namun beliau berkata, Ankara membantu Hamas mengakses dana pada masa lalu dan kini harus menggunakan undang-undang tempatan untuk menyekat potensi pemindahan dana pada masa hadapan.

Sementara itu, Erdogan menegaskan Washington amat sedar bahawa Turkiye tidak melihat Hamas sebagai organisasi pengganas.

"Pertama sekali, Hamas adalah realiti Palestin, ia adalah parti politik di sana dan ia memasuki pilihan raya sebagai parti politik dan menang.

"Kami membentuk dasar luar kami di Ankara dan mereka bentuknya hanya mengikut kepentingan Turkiye dan jangkaan rakyat kami.

"Saya pasti rakan bicara kami menghargai langkah dasar luar Turkiye yang konsisten dan seimbang dalam krisis dan konflik kemanusiaan seperti itu," kata Erdogan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya hari ini.

Israel semalam menyambung semula serangan udara selepas pihak berkenaan gagal melanjutkan gencatan senjata selama tujuh hari yang menyaksikan 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA