(Penduduk Kherson beratur menaiki bot untuk dipindahkan/Foto REUTERS)
MOSCOW, 21 Oktober- Serangan tentera Ukraine di wilayah Kherson, mengorbankan empat nyawa.
Kejadian berlaku selepas tentera Kiev membedil jambatan Antonivskiy di Sungai Dnipro yang digunakan untuk pemindahan penduduk.
"Empat orang terbunuh," kata pegawai pro-Rusia, Kirill Stremousov di Telegram.
"Kota Kherson seperti benteng, sedang mempersiapkan pertahanannya," tambah beliau.
Bagaimanapun, jurucakap tentera Ukraine, Nataliya Gumenyuk menafikan tentera Kiev telah membunuh orang awam.
"Kami tidak menyerang infrastuktur kritikal, penempatan awam atau penduduk tempatan," kata Gumenyuk dalam kenyataan di televisyen, pada Jumaat.
(Kirill Stremousov/Foto AFP)
Tentera pro-Rusia menggesa orang awam untuk menyeberang ke tebing kiri sungai Dnipro dalam menghadapi serangan balas Ukraine, yang disifatkan Kiev sebagai "pengusiran" rakyat Ukraine.
Pentadbiran Kherson yang disokong Rusia menyatakan Kiev melancarkan 12 roket HIMARS ke arah jambatan tersebut ketika penduduk awam menyeberang sungai berkenaan.
Katanya, 15,000 penduduk menyeberang sungai berkenaan pada Khamis dalam operasi pemindahan yang dikendalikan Moscow.-AFP