fb fb fb fb fb

Dua warga Romania didakwa tikam wartawan Iran di London

Pouria Zeraati, seorang penyampai untuk saluran berbahasa Parsi Iran International, ditikam di bahagian kaki pada 29 Mac lalu

LONDON, 6 Disember - Dua warga Romania didakwa atas tuduhan menikam seorang wartawan Iran di luar rumahnya di London pada awal tahun ini, menurut pihak berkuasa UK hari ini (Khamis).

Nandito Badea, 19, dan George Stana, 23, ditahan di Romania pada Rabu dan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah, menurut Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (Crown Prosecution Service).

Mereka akan diekstradisi ke Britain untuk dibicarakan.

Mangsa, Pouria Zeraati, seorang penyampai untuk saluran berbahasa Parsi Iran International, ditikam di bahagian kaki dalam serangan pada 29 Mac di Wimbledon, barat daya London.

Saluran Iran International menyatakan bahawa serangan itu berlaku selepas Iran dikaitkan dengan plot untuk membunuh dua penyampainya pada 2022.

Pada Disember tahun lalu, seorang warga Austria disabitkan kesalahan mengintip bagi pihak kumpulan yang mungkin merancang serangan terhadap Iran International.

Kerajaan Iran menyifatkan saluran Iran International sebagai organisasi pengganas selepas melaporkan protes yang tercetus susulan kematian Mahsa Amini, seorang wanita berusia 22 tahun yang meninggal dunia pada 2022.

Mahsa ditahan kerana didakwa melanggar kod pakaian ketat republik Islam tersebut. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN