KOLKATA, 18 Ogos- Hospital dan klinik di seluruh India tidak menerima pesakit kecuali kes kecemasan pada Sabtu ketika para profesional perubatan negara itu melakukan penutupan 24 jam sebagai protes terhadap kes rogol dan pembunuhan seorang doktor bulan ini di bandar timur Kolkata.
Lebih sejuta doktor dijangka menyertai mogok itu, ia sekali gus melumpuhkan perkhidmatan perubatan di seluruh negara paling ramai penduduk di dunia itu.
Bagaimanapun menurut hospital, kakitangan fakulti dari kolej perubatan telah diberikan perkhidmatan untuk kes kecemasan.
Namun kerajaan dalam satu kenyataan berkata, selepas pertemuan dengan wakil persatuan perubatan, semua doktor telah digesa untuk kembali bertugas demi kepentingan awam.
Kerajaan juga akan menubuhkan jawatankuasa untuk mencadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan perlindungan untuk profesional penjagaan kesihatan, katanya.
Sebagai tindak balas, Persatuan Perubatan India sedang mengkaji tawaran kerajaan, tetapi ia tidak membatalkan mogok, yang akan tamat pada pukul 6.00 pagi waktu tempatan pada Ahad.
Tindakan itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan seorang doktor pelatih berusia 31 tahun minggu lalu di kolej perubatan di Kolkata tempat mangsa bekerja.
Jenayah itu mencetuskan protes di seluruh India terutama dalam kalangan pekerja perubatan dan mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap keganasan terhadap wanita.
Tindakan itu turut mengingatkan kejadian selepas rogol beramai-ramai dan pembunuhan seorang pelajar berusia 23 tahun di dalam bas di New Delhi pada 2012.
Persatuan Perubatan India (IMA) berkata, mogok itu menghentikan akses kepada prosedur perubatan elektif dan perundingan pesakit luar.
Menurut agensi berita ANI urut kelihatan kehadiran polis di luar Kolej Perubatan RG Kar Kolkata lokasi mangsa dibunuh, manakala premis hospital itu lengang.
Ketua Menteri Barat Bengal, Mamata Banerjee turut menyokong protes di seluruh India.
Kerajaannya turut mengumumkan langkah untuk meningkatkan keselamatan bagi pekerja wanita yang bekerja syif malam, termasuk menyedikan bilik rehat yang dipantau oleh kamera.
Dalam pada itu institusi swastajuga diminta untuk mempertimbangkan langkah seperti rondaan malam untuk menjadikan persekitaran kerja lebih selamat khususnya kepada wanita.
Setakat ini Biro Siasatan Pusat India telah menahan seorang suspek dalam kes itu.
Jurucakap polis di Kolkata berkata, beberapa pelajar perubatan dari kolej itu telah dipanggil sebagai sebahagian daripada siasatannya, tidak terkecuali pengetua hospital itu.
Bantahan sepanjang hari di Kolkata diketuai doktor, kakitangan kerajaan dan pemimpin politik.
Sebilangan besar klinik swasta dan pusat diagnostik telah ditutup.- REUTERS