SEOUL, 10 Disember - Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dilakukan syarikat e-dagang Coupang susulan insiden kebocoran data besar-besaran yang mencetuskan bantahan meluas di negara itu.
Coupang sebelum ini mengalami salah satu insiden kebocoran data terburuk di Korea Selatan, melibatkan maklumat peribadi kira-kira 33 juta pengguna.
"Situasi melibatkan Coupang kini berada pada tahap yang amat serius. Ini pada asasnya merupakan isu etika. Dalam sebuah masyarakat digital, melindungi maklumat rakyat adalah tanggungjawab paling asas bagi syarikat platform.
"Kerajaan akan menjalankan siasatan yang pantas dan tepat terhadap punca kejadian serta mengambil tindakan tegas jika wujud sebarang pelanggaran undang-undang oleh syarikat berkenaan. Kami juga akan memperkemas langkah pembaharuan institusi," menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut syarikat itu, data yang terdedah merangkumi nama pelanggan, alamat e-mel, nombor telefon, alamat penghantaran serta sebahagian sejarah pesanan, namun tiada maklumat pembayaran atau butiran log masuk terbabit.
Dalam kenyataan pada Rabu, syarikat itu memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Park Dae-jun telah meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab atas insiden tersebut. Coupang turut menyatakan mereka "memohon maaf atas kegusaran yang timbul kepada orang ramai."
Bagaimanapun pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.- REUTERS