MEXICO CITY, 3 Jun- Claudia Sheinbaum dipilih sebagai presiden wanita pertama Mexico pada Ahad.
Para penyokong mengibarkan bendera sambil menyanyi dan menari mengikut muzik mariachi di dataran utama Mexico City meraikan kemenangan calon parti pemerintah itu.
Bekas Datuk Bandar Mexico berusia 61 tahun itu, yang juga merupakan seorang saintis memenangi sekitar 58-60 peratus undi, umum Institut Pilihan Raya Kebangsaan selepas pengiraan pantas.
Itu adalah lebih daripada 30 peratus mata di hadapan pesaing utamanya Xochitl Galvez, dan kira-kira 50 peratus mata di hadapan Jorge Alvarez Maynez.
Pengundi telah berbondong-bondong ke pusat mengundi di seluruh negara Amerika Latin, walaupun wujud keganasan sporadis di kawasan yang dikuasai oleh kartel dadah.
Beribu-ribu tentera dikerahkan untuk melindungi pengundi, berikutan proses pilihan raya membabitkan tragedi berdarah yang telah menyaksikan berpuluh-puluh calon ahli politik tempatan terbunuh.
Terdahulu, Sheinbaum ketika diumumkan sebagai pemenang, memuji apa yang disebutnya sebagai hari pilihan raya 'bersejarah'.
Selepas mengundi, dia mendedahkan tidak mengundi untuk dirinya sendiri tetapi untuk calon veteran berusia 93 tahun, Ifigenia Martinez, sebagai mengiktiraf perjuangannya.
"Hidup demokrasi!" kata Sheinbaum.
Selepas undian ditutup,dia menggesa pengikutnya memantau dengan teliti kiraan itu.
"Kami bersaing menentang autoritarianisme dan kuasa dan mereka mampu melakukan apa sahaja," kata senator dan ahli perniagaan wanita berusia 61 tahun yang berasal dari suku Asli itu.
Di Mexico kini, kira-kira 10 wanita atau gadis dibunuh setiap hari.
"Seorang presiden wanita akan menjadi transformasi untuk negara ini, dan kami berharap dia melakukan lebih banyak lagi untuk wanita," kata Clemencia Hernandez, seorang tukang cuci berusia 55 tahun di Mexico City.
"Ramai wanita ditakluki oleh pasangan mereka. Mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah untuk bekerja," katanya.
Daniela Perez, 30, berkata bahawa mempunyai seorang presiden wanita akan menjadi "sesuatu yang bersejarah," walaupun kedua-dua calon utama itu tidak "benar-benar feminis" pada pandangannya.
"Kita perlu melihat kedudukan mereka dalam meningkatkan hak wanita, menyelesaikan isu pembunuhan wanita," tambah pengurus syarikat logistik itu.
Hampir 100 juta orang telah didaftarkan untuk mengundi di negara yang mempunyai populasi seramai 129 juta orang itu.-AFP