fb fb fb fb fb

China, Mesir sumbang 500,000 dos vaksin COVID-19 kepada Gaza

BEIJING, 22 Februari- Penduduk di Semenanjung Gaza bakal menerima sejumlah 500,000 dos vaksin COVID-19 yang disumbang secara bersama oleh China dan Mesir.

Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan pada Ahad di Kaherah, Mesir.

Menurut Duta China ke Mesir, Liao Liqiang, sumbangan itu adalah penting untuk memastikan penduduk di Semenanjung Gaza dapat membendung wabak dan mengatasi krisis kemanusiaan.

Beliau berkata, ia sekali gus memperlihatkan keprihatinan China dan Mesir terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat Palestin serta hubungan rakan strategik komprehensif dua hala yang bertaraf tinggi.

"Isu Palestin ialah isu utama di Timur Tengah dan China menghargai peranan membina dan istimewa Mesir dalam menggalakkan penyelesaian isu Palestin.

"China bersedia untuk bersama masyarakat antarabangsa dalam merealisasikan kedamaian dan kestabilan di Timur Tengah untuk jangka panjang," kata Liao.

Pemangku Menteri Kesihatan dan Populasi Mesir, Khaled Abdel Ghaffar yang turut hadir pada majlis itu menyifatkan kerjasama dengan China dalam membendung wabak sebagai satu contoh yang baik.

Selain menyatakan penghargaan atas sokongan dalam membendung wabak, beliau memberitahu bahawa Mesir berjaya menghasilkan 30 juta dos vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan di bawah rangka kerjasama itu.

"Ini merupakan kali pertama Mesir menyumbangkan vaksin yang dihasilkan secara bersama dengan China, sekali gus memperlihatkan sokongan teguh kedua-dua pihak kepada rakyat Palestin," kata Khaled. 

Media Baharu