BEIJING, 28 Januari-China berhasrat memperkukuhkan pendidikan jasmani di sekolah dengan menjadikannya sebagai subjek teras dalam kurikulum, kata pihak berkuasa negara itu pada Isnin.
Langkah itu merupakan usaha ke arah pendidikan holistik ketika kebimbangan terhadap peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak.
Sekolah rendah dan menengah diwajibkan memastikan guru Pendidikan Jasmani diberi layanan setara dengan guru subjek seperti Bahasa Cina, Matematik, dan Bahasa Inggeris, serta meningkatkan usaha membangunkan sukan utama seperti bola sepak, bola keranjang, dan bola tampar, menurut agensi berita rasmi Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Pendidikan negara itu.
"Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk pendekatan pendidikan holistik, mengintegrasikan kecergasan fizikal dengan pembangunan akademik bagi melahirkan pelajar serba boleh yang bersedia untuk masa depan," kata Kementerian tersebut.
Langkah berkenaan diperkenalkan selepas China mengeluarkan Pelan Nasional pertamanya pada Januari untuk membina "Negara Pendidikan Kuat" menjelang 2035.
Antara polisi yang terkandung dalam pelan tersebut termasuk mewajibkan pelajar sekolah rendah dan menengah menjalani sekurang-kurangnya dua jam aktiviti fizikal setiap hari untuk mengawal kadar rabun jauh dan obesiti secara berkesan.
Pada pertengahan 2022, terdapat kekurangan seramai 120,000 guru pendidikan jasmani di seluruh China, dengan kawasan luar bandar paling terjejas, menurut Xinhua.
Langkah baharu itu juga akan menggalakkan pengambilan atlet bersara dan veteran tentera untuk membantu menjayakan polisi berkenaan.
Guru Pendidikan Jasmani juga akan menerima bayaran setara dengan guru subjek lain, termasuk penyesuaian gaji berdasarkan prestasi untuk tugas sukan selepas sekolah dan latihan pasukan, menurut laporan itu.
Kadar obesiti dalam kalangan belia meningkat sejak 2019 akibat penurunan aktiviti fizikal semasa sekatan COVID dan peningkatan pesanan makanan ringan secara dalam talian.
Doktor menjangka kadar obesiti akan terus meningkat dalam tempoh 10-12 tahun akan datang berikutan kelembapan ekonomi dan perubahan struktur yang membawa kepada tabiat pemakanan tidak sihat dan kurang aktiviti fizikal.
Peratusan kanak-kanak lelaki obes di China meningkat kepada 15.2% pada 2022 berbanding 1.3% pada 1990, lebih rendah daripada Amerika Syarikat (22%) tetapi lebih tinggi daripada Jepun (6%), Britain dan Kanada (12%), serta India (4%).
Obesiti dalam kalangan kanak-kanak perempuan pula meningkat kepada 7.7% pada 2022 berbanding 0.6% pada 1990.
"Obesiti telah menjadi isu kesihatan awam utama di China, menduduki tempat keenam sebagai faktor risiko kematian dan kecacatan di negara ini," kata Suruhanjaya Kesihatan Nasional negara itu pada Oktober.-REUTERS.