JAKARTA, 17 April- Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam usaha menerokai pelaburan di Asia Tenggara.
Lawatan tersebut itu dibuat selepas pentadbiran Presiden Biden berusaha untuk meningkatkan peranan rakan dagangan Asia dalam rangkaian pembekalan teknologi global bertujuan mengurangkan kebergantungan AS terhadap China.
"Indonesia adalah pasaran yang sangat penting bagi kami. Kami bercakap tentang keinginan presiden untuk melihat pembuatan di negara ini, dan ia adalah sesuatu yang akan kami terokai", katanya kepada pemberita.
"Saya rasa keupayaan pelaburan di Indonesia tidak akan tamat. Kami percaya kepada kemampuan dan kemampanan pasaran negara ini," tambahnya.
"Ia adalah dialog tentang sejauh mana potensi yang ada dalam negara dan komitmen kami kepada negara", kata Cook lagi.
Syarikat pembuat iPhone pada Selasa lalu telah mengumumkan bahawa syarikat berkenaan akan mengembangkan Akademi Pembuatannya di Indonesia kepada empat buah dengan kemudahan baharu di Pulau Bali.
Indonesia mempunyai populasi belia yang celik teknologi dengan lebih 100 juta orang di bawah umur 30 tahun, tetapi pasaran telefon pintar didominasi oleh Android Google menurut statistik.-AFP