KANPUR, 28 Januari- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun maut selepas ditendang oleh seekor kuda semasa majlis perkahwinan.
Kejadian berlaku berhampiran Thakur Chowk, kawasan balai polis Hanumant Vihar di daerah Kanpur, Uttar Pradesh, pada Ahad.
Rakaman menunjukkan seekor kuda sedang "menari" mengikut muzik yang dimainkan oleh sebuah kumpulan muzik apabila seorang budak kecil secara tidak sengaja berjalan di belakangnya.
Kuda itu tiba-tiba menendang kuat, menyebabkan budak tersebut terhantuk pada tangga berhampiran dan terjatuh.
Mangsa dikenali sebagai Krishna, mengalami kecederaan parah. Suasana meriah majlis perkahwinan bertukar menjadi duka.
Keluarga Krishna bergegas membawanya ke beberapa hospital, namun semua usaha gagal dan kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia.
Insiden itu berlaku apabila pengantin lelaki yang menunggang kuda memasuki dewan perkahwinan dan membuat pertunjukan bersama kuda tersebut.
Krishna, anak kepada seorang pemandu beca elektrik, sedang berjalan di lorong sempit di belakang kuda tersebut apabila dia ditendang.
Penduduk sekitar melaporkan bahawa kuda itu dipaksa untuk "menari" dengan muzik kuat, yang berkemungkinan menyebabkan ia menjadi gelisah dan agresif.
Rakaman insiden tersebut, yang dirakam kamera litar tertutup CCTV berhampiran, telah tular di media sosial.
Ketua Balai Polis Hanumant Vihar, Uday Singh, memaklumkan pihak polis akan mengambil tindakan sekiranya keluarga mangsa membuat laporan rasmi. Namun, bapa Krishna, Suresh, enggan membuat sebarang aduan.
Ibunya, Swati, meluahkan kesedihan yang mendalam, bertanya mengapa anaknya yang telah dinanti bertahun-tahun diambil daripadanya. Krishna dilahirkan selepas 12 tahun kelahiran anak sulung mereka, Shiva, dan keluarga tersebut bahkan membina sebuah kuil Hanuman sebagai tanda syukur atas kelahirannya.
Walaupun berdepan kehilangan besar, keluarga Krishna enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kuda. -REUTERS