LONDON, 18 Februari - Britain akan memberikan lanjutan 18 bulan tambahan kepada pemegang visa Ukraine yang layak tinggal di United Kingdom (UK), kata Pejabat Dalam Negeri hari ini.
Mulai awal tahun 2025, ratusan ribu pelarian yang melarikan diri dari Ukraine berikutan pencerobohan Rusia akan dapat memohon untuk tinggal di Britain dan terus mempunyai hak untuk mengakses pekerjaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan, kata kerajaan.
“Skim pelanjutan visa baharu ini memberikan kepastian dan jaminan kepada warga Ukraine di UK mengenai masa depan mereka ketika perang ini berterusan, dan kami akan terus menyediakan tempat perlindungan yang selamat bagi mereka yang melarikan diri dari konflik,” kata Menteri Migrasi, Tom Pursglove dalam satu kenyataan.
Britain mempunyai dua skim untuk pelarian Ukraine, pertama untuk mereka yang sudah berkeluarga di UK dan satu lagi membenarkan warga Britain untuk menawarkan penginapan kepada mereka yang melarikan diri dari perang sementara pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menghampiri tahun ketiganya.
Pejabat Dalam Negeri berkata pelanjutan itu akan memberi kesan kepada lebih 283,000 rakyat Ukraine di Britain.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong Ukraine dalam usaha ketenteraannya, Britain juga berkata ia akan membekalkan ribuan dron ke Kiev dan menggesa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) mengundi pakej bantuan keselamatan AS$95 bilion untuk Ukraine dan sekutu lain.-REUTERS