BUENOS AIRES, 20 September- Mahkamah di Brazil pada Khamis mengenakan denda terhadap syarikat milik jutawan teknologi, Elon Musk selepas beberapa pengguna di negara itu dapat mengakses platform media sosial X buat sementara waktu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Platform itu disekat di Brazil atas perintah Hakim Alexandre de Moraes, susulan kegagalannya mengambil tindakan mencukupi untuk membendung penyebaran ucapan kebencian dan berita palsu.
Beberapa pengguna berjaya mengakses X pada Rabu, menyebabkan Mahkamah Persekutuan Tertinggi mengenakan denda terhadap platform itu dan pembekal Internet satelit Starlink, kedua-duanya dimiliki Musk, sebanyak 5 juta reais (AS$920,000) bagi setiap hari platform itu melanggar larangan.
Kemas kini automatik pada aplikasi telefon membolehkan X memintas sekatan itu, menurut Persatuan Penyedia Internet dan Telekomunikasi Brazil (ABRINT).
Awal bulan ini, de Moraes mengarahkan X menyekat akaun aktivis sayap kanan yang menyebarkan teori konspirasi dan maklumat palsu. Musk menyifatkan arahan itu sebagai tidak sah dan syarikat media sosial terbabit tidak mematuhi permintaan itu.
Musk kemudian menutup pejabatnya di Brazil pada pertengahan Ogos kerana bimbang wakil syarikat di negara itu akan ditangkap.
Menurut laporan media, X mempunyai sekitar 20 juta pengguna di Brazil. -BERNAMA-dpa