fb fb fb fb fb

Blinken gesa Israel guna peluang tamatkan perang di Gaza

Antony Blinken / Foto Reuters

TEL AVIV, 23 Oktober – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa Israel untuk memanfaatkan peluang yang ada bagi menamatkan perang di Gaza, selepas kematian pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dan kerosakan besar sepanjang lebih setahun konflik tercetus.

Menurut Blinken, Israel telah berjaya memastikan tiada lagi pengulangan serangan pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan operasi ketenteraan di Gaza.

Beliau menekankan pentingnya Israel membawa pulang baki 101 tebusan Israel dan warga asing serta mengakhiri pertempuran.

"Ini adalah masa untuk menukar kepada kejayaan strategik yang berkekalan," katanya sebelum berangkat ke Riyadh bagi meneruskan lawatan ke Asia Barat.

Blinken turut menegaskan keperluan Israel untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang berada dalam keadaan daif, berikutan ketenteraan Israel yang telah menyebabkan kebanyakan penduduk di wilayah itu kehilangan tempat tinggal.

Blinken menegaskan bahawa AS menolak sebarang pendudukan Israel di Gaza, dan beliau telah dijamin oleh Netanyahu bahawa Israel tidak bercadang untuk berbuat demikian, meskipun terdapat tekanan dalam parti Netanyahu untuk mengizinkan peneroka Yahudi kembali.

"Itu telah menjadi dasar AS, dan ia akan kekal sebagai dasar AS, dan ia juga merupakan dasar kerajaan Israel," katanya.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN