WASHINGTON, 13 Januari- Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden memberi amaran bahawa akan lebih banyak tindakan ketenteraan terhadap kumpulan Houthi sekiranya pasukan berkenaan masih meneruskan lagi serangan terhadap kapal-kapal di Laut Merah.
Minggu ini, Amerika Syarikat (AS) dan Britain melancarkan serangan terhadap kumpulan tersebut yang menjadikan maritimnya sebagai solidariti kepada Palestin susulan perang dengan Israel.
Serangan menerusi pesawat pejuang dan kapal selam itu telah meningkatkan lagi kebimbangan mengenai konflik Asia Barat yang semakin meruncing.
Pada Jumaat, Biden memberi amaran, lebih banyak serangan akan dihalakan ke Yaman sekiranya pasukan Houthi tidak menghentikan serangan ke atas kapal dagang dan kapal tentera di Laut Merah yang merupakan salah satu laluan air paling penting di dunia.
"Kami akan memastikan bahawa kami akan bertindak balas kepada Houthi, jika mereka meneruskan tindakan berkenaan," kata Biden kepada pemberita di Pennsylvania.
Saksi mengesahkan letupan awal pada Jumaat, waktu tempatan, di pangkalan tentera berhampiran lapangan terbang di ibu negara, Sanaa dan bandar ketiga Yaman Taiz, serta pangkalan tentera laut di pelabuhan Laut Merah utama Yaman Hodeidah.
Jurucakap White House John Kirby berkata, serangan tersebut menyasarkan peralatan persenjataan kumpulan Houthi yang digunakan kumpulan itu untuk mengancam perkapalan di Laut Merah.
Pentagon berkata serangan A.S.-Britain mengurangkan kemampuan kumpulan Houthi untuk melancarkan serangan baharu.
Tentera AS berkata 60 sasaran di 28 tapak berjaya dimusnahkan.
Kumpulan Houthi, yang telah menguasai sebahagian besar Yaman selama hampir sedekad berkata, lima pejuang terbunuh dalam serangan berkenaan, namun kumpulan tersebut berikrar untuk meneruskan serangan ke atas kapal-kapal komersial di Laut Merah.
Sementara itu, Iran yang merupakan sekutu kepada kumpulan Houthi mengecam serangan berkenaan dan menyifatkan konflik di Asia Barat dapat diselesaikan dengan syarat kerjasama dengan Israel dihentikan.
"White House boleh "memulihkan keselamatan di seluruh Asia Barat dengan menghentikan "kerjasama ketenteraan dan keselamatan dengan Israel", kata Hossein Amirabdollahian, Menteri Luar Iran.-REUTERS