fb fb fb fb fb

Biden adakan dua pertemuan dengan Zelensky

Joe Biden/AFP

AMERIKA SYARIKAT, 5 Jun- Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Ukraine Volodymyr Zelensky di Normandy, Perancis, minggu ini.

Pertemuan sekali lagi dijangka pada mesyuarat Kumpulan Tujuh (G7) di Itali untuk membincangkan perjuangan Kiev menentang Rusia, kata White House pada Selasa.

Biden berdepan kritikan kerana mengatakan beliau tidak akan menghadiri sidang kemuncak keamanan Ukraine yang akan datang di Switzerland sebaliknya mahu menghadiri kutipan derma pilihan raya yang menampilkan bintang Hollywood George Clooney dan Julia Roberts.

Semasa berada di Normandy untuk ulang tahun ke-80 D-Day Perang Dunia II minggu ini, Biden "berpeluang duduk bersama-sama Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky", kata Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan kepada pemberita.

"Beliau (Joe Biden) akan mengadakan pertemuan dengannya untuk bercakap tentang keadaan di Ukraine dan terus memberi sokongan terhadap Ukraine," kata Sullivan.

Biden juga bersedia untuk bertemu Zelensky sekali lagi pada mesyuarat G7 ekonomi terkemuka di Bari, Itali, yang bermula pada 13-15 Jun. Ia akan memberi tumpuan kepada penggunaan dana Rusia beku untuk menyokong usaha perang Ukraine, katanya.

"Jadi, dalam tempoh kurang daripada seminggu, presiden akan mengadakan dua pertemuan substantif dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky," kata Sullivan.

Bagaimanapun Joe Biden tidak menghadiri sidang kemuncak Ukraine di Lucerne, Switzerland, sejurus selepas G7.

Sebaliknya persidangan itu akan dihadiri Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris dan Sullivan akan menghadiri sidang kemuncak Switzerland.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI