fb fb fb fb fb

Beribu-ribu bantah Netanyahu di New York sebelum berucap di PBB

Sekumpulan penunjuk perasaan memprotes tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di New York semalam/Foto AFP

NEW YORK, 27 September - Beribu-ribu aktivis, ahli organisasi hak asasi manusia dan wakil dari komuniti Palestin, Arab, dan Muslim berhimpun di luar kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di New York City, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Bantahan itu berlangsung menjelang ucapan Netanyahu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, bagi menzahirkan kebimbangan berterusan terhadap kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin serta peningkatan keganasan di Lubnan baru-baru ini.

Sejak ketibaan Netanyahu di Manhattan untuk menghadiri mesyuarat PBB, demonstrasi besar berlaku di beberapa jalan dengan desakan agar Netanyahu dan tentera Israel dipertanggungjawabkan atas kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

Penunjuk perasaan turut mengecam serangan agresif Israel ke atas Lubnan baru-baru ini.

Para aktivis merancang untuk meneruskan demonstrasi sepanjang kehadiran Netanyahu di New York, dengan matlamat untuk mendesak delegasi yang menghadiri Perhimpunan Agung bertindak segera bagi menamatkan serangan berterusan Israel. - BERNAMA-WAFA

GRACE AISYAH KEDAYAN