WASHINGTON, 7 April- China bakal berdepan tindakan disekatan seperti Rusia sekiranya negara itu terus memberikan sokongan material terhadap Moscow.
Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Wendy Sherman, berkata pihaknya memberi amaran tegas kepada China yang dilihat membantu Rusia setelah menceroboh Ukraine sejak Februari lalu.
"China sepatutnya faham mengenai sekatan dan kawalan eksport oleh rakan sekutu AS kepada Rusia,
"Presiden China, Xi Jinping sepatutnya mengetahui risiko yang bakal diterima sekiranya berterusan menyokong Putin dari segi bantuan material," jelas Sherman kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Rakyat.
"Kami harap China faham bahawa tindakan itu bukan sahaja dikecam AS bahkan masyarakat dunia," katanya.
(Hubungan baik China-Rusia diuji dengan konflik Ukrine/ AFP)
China dilihat enggan mengutuk tindakan Rusia di Ukraine sebaliknya mengkritik sekatan negara Barat terhadap Moscow.
Beijing dan Moscow menjalin hubungan yang rapat dalam tempoh beberapa tahun, termasuk mengumumkan perkongsian tanpa had sejak Februari lalu.
Sherman berkata, Beijing menunjukkan konflik dengan beberapa negara lain susulan hubungan akrabnya dengan Rusia.
Presiden AS, Joe Biden terdahulu turut memberi amaran kepada Jinping dalam satu panggilan video bulan lalu mengenai akibat dan kesan buruk sekiranya sokongan material dan bantuan ketenteraan diberikan kepada Rusia.
Biden juga yakin China tahu jelas akan masa depan ekonomi negara itu yang terikat kepada Barat. -REUTERS