DAR ES SALAAM, 26 April- Sekurang-kurangnya 155 orang maut di Tanzania ketika hujan lebat yang dikaitkan dengan El Nino sehingga mencetuskan banjir dan tanah runtuh, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Kassim Majaliwa berkata, lebih 200,000 orang terjejas akibat bencana di Tanzania dengan 155 maut dan 236 orang cedera.
“Hujan El Nino yang lebat, disertai angin kencang, banjir dan tanah runtuh di pelbagai bahagian negara telah menyebabkan kerosakan ketara.
“Ini termasuk kehilangan nyawa, kemusnahan tanaman, rumah, harta dan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, dan kereta api.
"Akibatnya, lebih 51,000 isi rumah dan 200,000 orang terjejas, dengan 155 kematian; kira-kira 236 individu cedera dan lebih 10,000 rumah rosak," kata Majaliwa kepada Parlimen di Dodoma, semalam.
Lewat tahun lalu, lebih 300 orang maut dalam hujan lebat dan banjir di Kenya, Somalia dan Ethiopia ketika wilayah itu cuba pulih daripada kemarau terburuk selama empat dekad.
Sejak Oktober 1997 hingga Januari 1998, banjir besar menyebabkan lebih 6,000 kematian di lima negara di rantau tersebut. -AFP